Skip to main content

Politik

Pemilihan UMNO enam bulan selepas PRU16

81669046460_UMNOLogoUMNOBen.jpg
Pemilihan UMNO pada tahun ini, yang ditangguh, akan diadakan pada suatu tarikh tidak melebihi enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Setiausaha Agung parti itu Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR: Pemilihan UMNO pada tahun ini, yang ditangguh, akan diadakan pada suatu tarikh tidak melebihi enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Setiausaha Agung parti itu Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Fasal 10.16, Fasal 10.16.1 dan Fasal 10.16.2 Perlembagaan UMNO.

Advertisement

Asyraf Wajdi berkata langkah itu bagi memastikan seluruh jentera parti di semua peringkat dapat dipersiapkan sepenuhnya untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri dan PRU16 yang boleh diadakan pada bila-bila masa bermula tahun ini.

Mengenai takwim parti bagi 2026, beliau berkata Persidangan UMNO Cawangan akan bermula dari 1 April hingga 17 Mei manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pula dijadualkan dari 1 Jun hingga 12 Julai depan.

“Perhimpunan Agung UMNO 2026 pula akan berlangsung selama lima hari bermula 12 Ogos hingga 16 Ogos depan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-80 parti tahun ini, UMNO Malaysia akan menganjurkan Kongres Pendidikan Bumiputera pada 1 Mei depan, dan acara kemuncak sambutan bersejarah itu akan disusuli Konvensyen UMNO pada 2 Mei di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video