KUALA LUMPUR: Kemunculan semula Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dalam perlumbaan Ketua Wanita UMNO dijangka berada di kedudukan selesa untuk merampas semula jawatan yang pernah disandangnya dulu.

“Cakap-cakap adalah Kak Ijat (Shahrizat) adalah overwhelming favourite. Kita tahu dari segi kebolehan, karisma dan gaya, tiada siapa yang boleh atasi Kak Ijat, tapi adakah (dengan pemilihan Shahrizat) kita melangkah ke belakang?” jelas bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam siaran podcast, Keluar Sekejap yang disiarkan, baru-baru ini.

Turut bertanding merebut jawatan berkenaan ialah penyandang, Datuk Seri Noraini Ahmad.

“Noraini seorang Ketua Wanita yang steady, tetapi mungkin tidak menyerlah dari segi gaya, seperti Kak Ijat. Saya lihat gaya Kak Ijat boleh naikkan semangat anggota Wanita di bahagian-bahagian. Mungkin ketika kita perlukan wartime general, mungkin Kak Ijat?” soal Khairy.

Khairy yang disingkirkan daripada UMNO pada 27 Januari lalu, juga turut yakin bahawa Shahrizat mampu menjadi kuasa semak imbang kepada kepimpinan parti yang diterajui Datuk Seri Zahid Hamidi, memandangkan beliau percaya Shahrizat mempunyai pengalaman dan kekananan dalam politik.

BACA: Shahrizat bertanding Ketua Wanita UMNO kerana rai demokrasi dalam parti

“Tetapi, adakah dia akan buat (semak dan imbang)? Atau dia akan go with the flow?,” soal bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan UMNO yang kini berdepan pengantungan enam tahun, Shahril Hamdan menjangkakan cabaran utama yang bakal dihadapi Shahrizat, jika menang dalam pemilihan Ketua Wanita UMNO ialah untuk mengembalikan keyakinan kepada pihak yang menganggap pemilihan beliau sebagai satu langkah ke belakang untuk UMNO.

Shahril turut menamakan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Shahar Abdullah dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT UMNO) Datuk Khaidhirah Abu Zahar (Dira Abu Zahar), masing-masing sebagai calon pilihan untuk jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Puteri.

Hari ini, berlangsung Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat.

Ia akan diadakan serentak di kesemua 191 bahagian UMNO di seluruh negara.