Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mahu pemimpin-pemimpin politik menghentikan memainkan isu perkauman bagi memulihara kesejahteraan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berkata, isu rasis yang sengaja digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak dikhuatiri akan meretakkan teras perpaduan nasional yang dibina selama ini.

"Isu perkauman yang dijadikan sebagai propaganda politik dilihat amat berbahaya dalam konteks Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

"Isu kaum sejak akhir-akhir ini sengaja dijadikan modal untuk menarik sokongan kaum tertentu demi kelangsungan politik," katanya dalam catatan terbaharu di blog http://umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Katanya, pemimpin politik tidak seharusnya menjadikan isu kaum sebagai platform untuk mempopularkan diri sendiri.

"Ada yang guna isu kaum termasuk agama untuk jadi jaguh, untuk jadi popular walhal implikasinya daripada tindakan itu amat tidak baik kepada masa depan rakyat dan negara," ujarnya.

Malah katanya, generasi muda juga mula terpengaruh dengan sentimen tersebut sehingga tercetus kesangsian melampau terhadap kaum tertentu.

"Hari ini minda generasi muda telah dirosakkan oleh doktrin politk melampau yang menjadikan isu perkauman bagi menjayakan agenda pihak tertentu.

"Sepatutnya usaha pembinaan budaya bangsa berasaskan kaum dan penerapan nilai jati diri golongan muda menjadi tanggungjawab bersama pemimpin politik," tegasnya.

Syed Ali turut membidas pengamal media sosial yang sengaja menyebar persepsi negatif bersabit isu hubungan kaum di negara ini.

"Pihak berkepentingtan sengaja mahu merosakkan sistem demokrasi dan perpaduan nasional dengan memainkan sentimen kaum.

"Mereka sengaja menyemarakkan sentimen perkauman supaya berlaku perbalahan antara orang Melayu, orang Cina dan India yang merupakan kaum terbesar di negara ini," jelasnya.

Menurutnya, media sosial mutakhir ini juga sengaja mesensasikan isu perkauman supaya kaum-kaum tersebut bercakaran sesama sendiri.

"Golongan berkepentingan mahu melihat berlakunya perbalahan antara kaum dan kacau-bilau bagi memudahkan mereka menguasai negara ini," katanya.

Syed Ali menambah, pemimpin politik sewajarnya kembali kepada asas perjuangan yang meletakkan kepentingan dan perpaduan rakyat sebagai teras dalam berpolitik.

"Pembentukan Malaysia merdeka selepas terlepas daripada belenggu penjajah berasaskan kepada semangat muhibah dan permuafakatan antara rakyat pelbagai kaum.

"Acuan itu yang diguna pakai sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga kini, yang berjaya menjadikan Malaysia sebagai negara disegani di rantau ini," ujarnya.

Malah jelasnya, pembentukan Malaysia merangkumi Sabah dan Sarawak juga berteraskan kepada rasa hormat dan semangat setiakawan antara kepelbagaian etnik.

"Mengapa kita mahu robohkan benteng perpaduan yang dibina selama ini, hanya kerana diresasi oleh rasa prejudis antara kaum yang dicetuskan oleh kepentingan politik?

"Kadang-kadang kita terjebak dengan persepsi negatif yang sengaja dimainkan pihak tertentu sedangkan hakikatnya rakyat masih boleh menerima kerajaan yang diperintah oleh Barisan Nasional (BN).

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut menjelaskan hanya BN mampu merealisasikan impian rakyat berbilang kaum di negara ini.

Bagaimanapun ujarnya, itu tidak bermakna BN sentiasa selesa dengan kedudukannya selaku parti pemerintah untuk kekal selama-lamanya.

"Kita kena sedar betapa BN terutama UMNO kini diserang hebat oleh pembangkang termasuk kumpulan anti kerajaan.

"Kerana itu komponen BN dan UMNO khusunya perlu kepada pengukuhan di setiap peringkat termasuk di akar umbi.

"Akar kena kuat dan untuk menguatkannya, kita perlu bekerja keras membina satu kekuatan yang jitu agar tidak mudah dipatah oleh musuh," tegasnya.

Pemimpin juga jelasnya sewajarnya memberikan contoh teladan terbaik supaya sokongan rakyat terhadap parti tidak terhakis.

"Jangan hanya bercakap soal perpaduan rakyat, tetapi realitinya kita semakin jauh dengan mereka kerana dibataskan oleh kedudukan dan jawatan, ini sebenarnya yang boleh memberi musibah kepada UMNO," katanya.