KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO Johor menggesa Peguam Negara berundur secara terhormat susulan kontroversi pengendalian keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Desakan itu dibuat selepas laporan polis dikemukakan terhadap Peguam Negara bagi memastikan siasatan berhubung perkara berkenaan dapat dijalankan secara telus dan berintegriti.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata pihaknya menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keputusan Lembaga Pengampunan pada 18 September 2026 yang melibatkan pengurangan hukuman terhadap Najib.
"Kenyataan Istana Negara pada 7 November lalu memperjelaskan bahawa keputusan berkenaan dibuat berdasarkan bidang kuasa serta tanggungjawab Seri Paduka Baginda selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan," kata beliau.
Noor Azleen bagaimanapun melahirkan rasa kesal terhadap cara Peguam Negara mengendalikan pelaksanaan keputusan berkenaan yang didakwa menimbulkan persoalan mengenai pematuhan terhadap keputusan Lembaga Pengampunan.
"Keperluan Istana Negara dan Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan berasingan pada 7 November lalu menunjukkan masih terdapat kekeliruan yang perlu diperjelaskan kepada umum," tambahnya.
Menurut titah yang dikeluarkan Istana Negara, semua syarat dalam Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib telah dipenuhi dan pelaksanaannya tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
Titah berkenaan turut menegaskan bahawa perintah itu adalah jelas dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kes lain yang dihadapi Najib.
Ia turut menjelaskan bahawa kuasa pengampunan adalah prerogatif diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Pelaksanaan kuasa berkenaan hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Kenyataan itu turut menjelaskan, tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran sehingga menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang sudah diperkenankan.
Media melaporkan UMNO mengesahkan segala proses pembayaran denda RM50 juta sudah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada sebelah pagi, sebagai syarat untuk Najib menjalani tahanan di rumah.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian dilapor menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Sultan Ibrahim.
AGC dipetik berkata penangguhan dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung tafsiran perintah itu, khususnya mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.
Menurut AGC, terdapat dua interpretasi perlu diberikan penelitian lanjut, pertama ialah pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan hingga 23 Ogos 2028.
AGC juga berpandangan tahanan di rumah ialah kaedah atau tempat alternatif untuk menjalani baki hukuman penjara dan bukannya penamatan hukuman berkenaan.
Pembayaran denda RM50 juta ialah syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya yang membawa kesan keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara dianggap selesai.