KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendaftarkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam masa 14 hari merupakan kemenangan untuk demokrasi negara.

Pengasas bersama MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya berterima kasih dengan institusi kehakiman negara dengan keputusan itu yang diperjuangkan mereka sejak lebih setahun lepas.

Tegasnya, akhirnya mereka kini mempunyai tempat untuk menyuarakan pendapat, kritikan dan cadangan untuk membangunkan negara tercinta.

BACA: Mahkamah Tinggi arah KDN daftar MUDA dalam tempoh 14 hari

“Apabila kami bermula kira-kira satu setengah tahun lepas, siapa MUDA? Kalau tengok pengasasnya adalah guru, aktivis, peguam, doktor muda, petani muda, korporat muda yang mungkin tiada pengalaman politik yang panjang.

“Mereka juga tiada wang lumayan, tiada kedudukan mewah dalam kerajaan. Pengalaman politik kita mungkin agak pendek tapi yang kita ada adalah iltizam, semangat untuk berjuang demi negara tercinta.

“Dari setahun setengah lepas, kita melalui pelbagai jenis rintangan dan cabaran, pendakwaan, ugutan, sogokan. Ia sukar dipercayai tapi dengan keputusan hari ini, ia buatkan semuanya bermakna dan berbaloi,” katanya.


Kerjasama PRU15 | Muda tunggu keputusan mahkamah Disember ini

Beliau berkata demikian pada sidang media di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas mendapat keputusan tersebut daripada barisan peguam MUDA.

Tegas beliau, MUDA memberi tumpuan untuk sama-sama membangunkan negara dan memastikan suara golongan muda tidak terpinggir dan politik khidmat dilaksanakan sebaiknya.

“MUDA di sini bukan untuk membakar jambatan tapi untuk bina jambatan. MUDA di sini bukan ingin musnahkan Malaysia tapi nak bantu bangunkan negara, bangsa dan agama.


“Kami juga mahu perkasakan politik khidmat supaya tiada golongan miskin terkecuali,” ujarnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa bukan sahaja mengarahkan KDN mendaftarkan MUDA dalam tempoh 14 hari malah turut memerintahkan KDN membayar kos guaman sebanyak RM10,000.|

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh MUDA menerusi laman Twitternya pada Selasa.