Penduduk di Parlimen Permatang Pauh berharap kerajaan Persekutuan dapat membangunkan kawasan itu yang dikatakan tiada pembangunan sejak 15 tahun lepas.

Ketua UMNO bahagian Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said berkata semua pembangunan yang ada ketika ini adalah yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) dahulu.

"Rakyat di Permatang Pauh dahagakan pembangunan kerana dalam tempoh 15 tahun ini, iaitu sepanjang (Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) menjadi anggota Parlimen di sini, (Permatang Pauh) tiada pembangunan baharu... semua yang ada adalah yang lama.

"Dengan pembangunan baharu, ia dapat menyuntik semangat kami kerana ada benda yang kami perjuangkan dan dapat buktikan kepada rakyat Permatang Pauh bahawa UMNO memperjuangkan nasib mereka," katanya ketika berucap pada persidangan perwakilan UMNO bahagian Permatang Pauh pada Ahad.

Persidangan itu dirasmikan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri. Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman.

Sementara itu, UMNO Permatang Pauh mencadangkan usul pembinaan sistem serta dasar pendidikan negara dikaji secara komprehensif agar agenda perpaduan dalam kalangan rakyat dapat dipupuk serta diasuh sejak usia kecil.

Selain itu, bahagian itu menggesa usaha mendaulatkan Bahasa Melayu dapat dipertingkat seperti termaktub di bawah Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa yang dapat menyatupadukan rakyat dalam erti kata sebenar.