IPOH: Kerajaan Perak pada Khamis mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan gaji kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan berkenaan diberikan kepada 48 daripada keseluruhan 59 ADUN serta seorang Speaker.

"Sebagai buah tangan kepada persidangan kali ini, kerajaan negeri bersetuju untuk membayar BKK ini.

"Saya umumkan dahulu sebelum ada yang bertanya," katanya ketika sesi penggulungan Enakmen Perbekalan Tahun 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.

Pemberian BKK itu akan melibatkan 22 ADUN kerajaan dan 26 wakil pembangkang.

Ketika pembentangan Belanjawan Perak 2024 minggu lalu, Saarani (BN-Kota Tampan) mengumumkan pemberian dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri termasuk 11 ADUN yang menganggotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco).

Dalam sesi penggulungan itu, Saarani turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju meneruskan peruntukan pengurusan Pusat Khidmat ADUN RM7,000 sebulan kepada semua 59 pusat khidmat.

Katanya, peruntukan itu boleh digunakan bagi membiayai bayaran elaun pegawai khas pusat khidmat masing-masing, membayar sewa pejabat, membayar bil utiliti dan lain-lain yang berkaitan dengannya.

"Kepada semua rakan-rakan ahli Yang Berhormat, usahlah berasa gelisah, bimbang atau bergundah-gulana. Yakinlah, apa jua ketetapan yang akan dibuat, kerajaan negeri memberi jaminan akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Perak merentasi kawasan politik, agama dan kaum," katanya.

Pengumuman itu mendapat reaksi positif kalangan ahli Dewan termasuk blok pembangkang yang bangun menzahirkan rasa terima kasih.

Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) menyambut baik pendekatan kerajaan negeri yang memberikan hak sama rata antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang

Ketua Pembangkang itu berkata, menerusi usaha itu, Perak telah menjadi negeri contoh kepada pentadbiran kerajaan Madani yang lain.

"Bagi pihak barisan pembangkang, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar," katanya.

Mohd Akmal Kamarudin (PN-Selama) dan Noor Azman Ghazali (PN-Alor Pongsu) turut menzahirkan harapan agar Perak jadi negeri terbaik dan disebut-sebut dari segi agihan peruntukannya. - Sinar Harian


Untuk berita terkini, ikuti kami di WhatsApp Astro AWANI