Satu perbualan dipercayai membabitkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk daripada Angkatan Muda Keadilan, telah tular, dengan kandungannya antara lain menyelar Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi satu perbualan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris seperti dilihat dan dilaporkan portal MalaysiaNow, perbualan itu jelas menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Anwar, berikutan mereka mendakwa beberapa kali dikecewakan presiden mereka sendiri.

Perasaan itu timbul selepas 'kegagalan' Ahli Parlimen Port Dickson itu membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti sekali gus menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi tangkap layar yang dilihat portal itu, dua pemimpin utama Pemuda PKR mengkritik Anwar dan mengatakan akar umbi parti dipermainkan dan berterusan bergaduh sesama sendiri.

Berikut adalah petikan perbualan seperti didedahkan MalaysiaNow:

A: Sebab tu Anwar akan dikelilingi orang macam tu, yang sanggup jadi pak turut. Tapi akhirnya parti tak dapat berkembang sebab akar umbi dikecewakan.

B: Ya, memang ramai kecewa.

A: Memang susah nak jadi PM, sebab ramai dah serik, berjuang habis-habisan lepas tu dipaksa tarik balik, haha…

Malah, pemimpin-pemimpin sayap itu menyindir mereka dan melabelkan mereka sebagai “kaki ampu”.

A: Kena cepat draf kenyataan jilat sampai licin, haha..

B: Boleh, Anwar pemimpin kami. Kami percaya Anwar ialah Imam Mahdi

A: Ada dua ketidaktentuan yang ajaib dalam dunia ini:
1. Bila Anwar nak jadi PM.
2. Bila bateri jantung * nak habis.

B: Hahaha betul

A: Anwar pergi istana naik Pajero. Lepas tu, Pajero terbang lompat pagar istana.


Menurut laporan itu, perbualan itu berlaku dalam satu kumpulan WhatsApp yang turut disertai oleh pemimpin kanan PKR.

Lapornya lagi, beberapa pemimpin PKR yang turut serta dalam kumpulan itu ketika dihubungi mengesahkan kesahihan perbualan tersebut.

Begitupun, MalaysiaNow tidak mendedahkan identiti mereka yang terlibat kerana masih sedang mendapatkan komen daripada pemimpin yang terlibat.

Menurut portal itu, salah seorang daripada mereka pernah membuat kenyataan secara terbuka menyuarakan kekecewaan terhadap barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang enggan bangun berdiri dalam undi belah bahagi sewaktu undi Belanjawan 2021.

Arahan saat akhir oleh Anwar kepada ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) pada 26 November lalu menyebabkan mereka duduk selepas undi belah bahagi diusul yang akhirnya diluluskan dengan mudah melalui undian suara.

Jika mereka berjaya menggagalkan belanjawan, ia akan menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang.