PAS mengambil sikap berkecuali dalam undi tidak percaya pada Bajet 2016 kerana ada elemen dalam bajet itu yang diperlukan rakyat yang berdepan kesukaran.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, parti itu tidak mahu melihat rakyat menjadi mangsa politik dalam suasana politik negara yang tidak menentu.

"Mereka tidak perlu menjadi mangsa politik dalam keadaan ekonomi tidak menentu, kredibiliti negara terus dipersoal kerana skandal kewangan 1MDB dan juga Perdana Menteri dan juga pembangkang yang masih jauh dari mencapai kata sepakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, PAS tidak mahu menghantar mesej bahawa parti itu membantah gaji kakitangan dan pencen pegawai kerajaan dinaikkan dan bonus yang diharapkan mereka untuk mengurangkan beban masa ini yang terdapat di dalam Bajet 2016.

"Begitu juga hasrat golongan berpendapatan rendah yang kini boleh menikmati gaji minima dan manfaat yang bakal diperoleh warga penoreh getah dan Felda melalui Bajet 2016.

"PAS tidak bersetuju dengan BR1M, tapi pada masa yang sama, PAS dan pembangkang lain tiada kuasa untuk menghalang kenaikan tol dan sebagainya meskipun ia di negeri yang ditadbir pembangkang dan rakyat yang kesempitan memerlukan bantuan ini sehinggalah ada alternatif yang lain di PRU14 nanti,"

Beliau turut melahirkan kebimbangan jika Malaysia akan mengalami situasi seperti di Amerika Syarikat sekiranya pembangkang mendapat cukup sokongan untuk menang usul tidak percaya pada Bajet 2016.

"Pengalaman Amerika Syarikat bila mana berlaku "goverment shutdown", selepas bajet Obama ditolak sehingga menyusahkan rakyat serta kakitangan kerajaannya, namun Obama terus berkuasa.

"Government shutdown" menyebabkan 800,000 kakitangan kerajaan persekutuan di Amerika Syarikat terpaksa mengambil cuti sementara, manakala 1.3 juta lagi terpaksa lapor diri ke tempat kerja tanpa diberitahu bila gaji mereka akan dibayar. Akhirnya, rakyat Amerika menyalahkan pembangkang,

Malah katanya jika bajet berjaya ditolak, ia hanya memeritkan urusan harian rakyat termasuk gaji kakitangan yang tidak boleh dibayar akibat tindakan itu.

"Ia langsung tidak mengancam kedudukan Perdana Menteri mahupun BN yang menjadi fokus untuk ditumbangkan kerana tidak amanah. Percayalah Najib tetap tidak akan meletakkan jawatan walaupun bajetnya ditolak.

"Keadaan ini berbeza dengan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri kerana PAS telah mengambil pendirian menyokongnya sekiranya ia dibawa untuk dibahas di Parlimen," tegas beliau lagi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata, parti itu mengambil langkah berkecuali daripada parti pembangkang lain untuk menolak usul Bajet 2016 yang dibentangkan Najib selaku Menteri Kewangan pada 23 Oktober lalu.

Beliau turut menegaskan bahawa kesemua ahli Parlimen PAS sebulat suara bersetuju dengan keputusan penolakan usul tersebut.

Katanya PAS kini berpaksi kepada perjuangan bagi mengubah dasar kerajaan, dan bersedia menjadi penasihat serta pembantu sekiranya UMNO mengubah dasar pemerintahannya.