GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menunggu arahan daripada kepimpinan pusat sebelum memutuskan bentuk kerjasama yang akan dilakukan di negeri ini susulan perjanjian persefahaman antara gabungan Kerajaan Perpaduan yang dimeterai hari ini.

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pemeteraian perjanjian permuafakatan oleh lima gabungan politik utama itu adalah titik permulaan kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Malaysia namun mekanisme dan bentuk kerjasama itu tertakluk kepada perbincangan selanjutnya.

Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata kerajaan negeri akan melihat apa yang diputuskan dan menunggu arahan seterusnya.

"Di peringkat negeri, setakat ini belum ada perbincangan rasmi antara PH dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berhubung kerjasama.

"Saya rasa hasrat untuk menjalin kerjasama adalah sebagai permulaan tetapi mekanisme dan bentuk kerjasama itu tertakluk kepada perbincangan selanjutnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lima gabungan politik utama - PH, BN, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Warisan yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama di Putrajaya bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi negara.

-- BERNAMA