KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memberi perhatian kepada memperkukuh kesatuan dalaman Kerajaan terlebih dahulu sebelum memikirkan usaha ke arah kerjasama bipartisan.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar berpendapat, tujuh tawaran yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini perlu diberi pertimbangan.

Menurut beliau, tawaran berkenaan bukan keutamaan memandangkan masalah yang timbul sebelum ini datangnya dari Ahli-ahli Parlimen dalam kerajaan termasuk yang membuat ugutan untuk menarik sokongan.

"Tidak dapat kita nafikan bahawa sebelum ini, secara terbuka anggota-anggota Parlimen kita sendiri dalam BN (Barisan Nasional) dan PN (Perikatan Nasional) sendiri yang lantang memberi kritikan atau ugutan terbuka untuk menarik diri dan sebagainya.

"Oleh sebab itu keutamaan Datuk Seri Ismail Sabri ialah memastikan setiap anggota komponen dalam kerajaan hari ini, dapat kita satukan.

"Kita berharap tidak muncul dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan sendiri yang digunakan oleh pembangkang untuk menampakkan lemah dan tidak efektifnya kerajaan yang ada," katanya kepada Astro AWAN, di sini pada Sabtu. 



PM ke-9 | Membina Malaysia di bawah pentadbiran baharu - Datuk Kamaruddin Jaffar

[LAPOR LANGSUNG] Ismail Sabri PM ke-9




Ismail Sabri angkat sumpah jawatan PM ke-9 di Istana Negara

BACA: Ahli Parlimen PN teguh bersama Ismail Sabri - Hamzah

Sehubungan itu, Kamaruddin mengharapkan agar Ismail Sabri dapat memastikan setiap perbezaan pandangan dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen dalam kerajaan dapat diselesaikan secara dalaman agar apa yang berlaku sebelum ini tidak berulang.

Selain itu, Kamaruddin menaruh harapan kepada Perdana Menteri untuk memberi tumpuan pada usaha-usaha memulihkan ekonomi negara bagi memastikan masalah hilang pendapatan yang dihadapi rakyat dalam diselesaikan segera.

Tidak ketinggalan, Kamaruddin berharap, Perdana Menteri yang baru dilantik itu dapat membentuk Kabinet yang berintegriti dan meneruskan dasar-dasar Kerajaan sebelum ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara hari ini.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ismail Sabri, 61, dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Muhyiddin, yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, kehilangan majoriti selepas 15 Ahli Parlimen UMNO yang diketuai Ahmad Zahid, telah mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.

Sehubungan itu, pada 17 Ogos lepas, Speaker Dewan Rakyat telah mengutuskan surat kepada kesemua 220 Ahli Parlimen, memaklumkan titah Tuanku Agong bahawa mereka semua perlu mengemukakan surat akuan bersumpah (SD) bagi memilih seorang calon Perdana Menteri.

Pada 19 Ogos, 114 Ahli Parlimen yang menzahirkan sokongan mereka kepada Ismail Sabri, telah dititahkan untuk menghadap Agong di Istana Negara bagi mengesahkan pilihan mereka.

Selesai pertemuan Agong dengan enam Raja Melayu pada Jumaat, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan pemilihan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu.