KUALA LUMPUR: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Idris Haron yang tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mencadangkan agar Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Idris yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Asahan itu percaya PH memerlukan 'wow factor' untuk memenangi PRU15.

Beliau juga percaya agak sukar untuk PH mendapatkan sokongan sekiranya gabungan itu memilih untuk bergerak sendirian tanpa kerjasama parti lain.

"Kena ada satu 'wow factor, mesti ada sesuatu besar berlaku dalam PH. Saya lihat kalau PH pergi solo, kita mungkin hadapi kesukaran mendapat sokongan pengundi-pengundi yang ikut parti.

"Jadi saya melihat ''wow factor' tu, salah satunya kalau ada kerjasama antara PH dan PN semula," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut bekas Ketua Menteri Melaka yang menyertai PKR selepas dipecat daripada UMNO, kekalahan PH di Melaka adalah disebabkan perpecahan undi antara PH dan PN.

Katanya, ia juga disebabkan beberapa faktor lain termasuk peratusan keluar mengundi yang rendah dan PH hilang sokongan daripada pengundi Melayu di beberapa kerusi.

"Saya tetap katakan kekalahan PH dalam PRN Melaka ini sebab perpecahan PH dan PN tu sendiri.

"Saya kata ralat sebab kita tak sempat suarakan, memandangkan BN sungguh-sungguh tolak PN dalam kerjasama PRN tempoh hari. Cuma tak ada tawaran dari PH (untuk kerjasama dengan PN).

"Mungkin kalau itu berlaku senarionya berbeza,” katanya.

Pada Oktober lalu, UMNO memutuskan untuk memecat Idris dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan selepas mereka menarik balik sokongan mereka terhadap ketua menteri ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bersama dua lagi ADUN.

Namun usaha untuk menumbangkan kerajaan itu gagal selepas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Pada PRN Melaka November lalu, PH hilang banyak kerusi yang dimenanginya pada PRU14 dan hanya mempertahankan lima kerusi DUN.