KUALA LUMPUR: Bagi memastikan kerajaan terus stabil, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan agar perlembagaan negara dipinda supaya selepas pilihan raya, Parlimen wujud selama lima tahun.

Mohamed Nazri menjelaskan cadangan itu dikemukakan bagi memastikan tidak berlaku lagi usaha menjatuhkan kerajaan seperti yang dilakukan sebelum ini.

Beliau menjelaskan, cadangan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan pada Jumaat.

"Untuk memastikan bahawa tempoh lima tahun sesebuah kerajaan dibentuk, saya cadangkan supaya dipinda perlembagaan supaya disebut iaitu selepas pilihan raya, Parlimen itu wujud selama lima tahun, lima tahun bermaksud lima tahun.

"Tidak boleh tidak sampai lima tahun, masuk tiga tahun, jatuh, kalau ini dibenarkan bermakna dalam pemikiran orang boleh dijatuhkan kerajaan itu dalam masa kurang lima tahun," katanya kepada Astro AWANI.

Mohamed Nazri menegaskan, dengan cara itu juga dapat mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat adalah kerajaan yang ditubuhkan selepas pilihan raya adalah untuk tempoh lima tahun.

"Jadi saya kira kalau kita dapat pinda perlembagaan ini, maka dia akan memberikan persepsi dan juga optik kepada rakyat apabila kerajaan ditubuh adalah untuk lima tahun," katanya lagi.

Beliau menjelaskan isu kestabilan kerajaan itu banyak dibangkitkan oleh pelabur-pelabur dan ahli politik Amerika Syarikat yang ditemuinya.

Mohamed Nazri menegaskan sekiranya masih ada pihak yang berusaha untuk menjatuhkan kerajaan, mereka itu boleh dianggap telah menderhaka kepada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hujah Mohamed Nazri, Yang Dipertuan Agong telah menitahkan agar sebuah kerajaan perpaduan sepertimana yang ada hari ini ditubuhkan setelah tidak ada mana-mana gabungan yang memperolehi jumlah majoriti.

Beliau menjelaskan, umum mengetahui Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menolak cadangan agar ditubuhkan kerajaan gabungan PN dan PH.

"Ini merupakan kerajaan atas perintah Tuanku, jadi bila Tuanku sudah perintah maka kuasa dia pun, maka tidak berbangkitlah kerajaan ini akan jatuh.

"Apabila Tuanku keluarkan perintah, maka kita semua rakyat yang menyatakan taat setia kepada Tuanku, mana boleh lepas itu kita ingkar dengan Tuanku, tak sokong dan cari jalan bagaimana nak tarik sokongan bagi jatuhkan kerajaan, naik kerajaan baru, tak boleh, ini kerajaan Tuanku.

"Jadi mana-mana ahli Parlimen yang berfikir untuk menarik sokongan untuk menjatuhkan kerajaan yang tuanku telah perintah untuk ditubuh, itu merupakan penderhakaan, itu merupakan keingkaran.

"Di bawah Rukunnegara kita ada kesetiaan kepada Raja, maka mereka tak boleh buat demikian, jadi dengan cara ini kerajaan ini tak boleh jatuh, solid lah.

"Kita kena sampaikan kepada rakyat, iaitu bahawa kerajaan ini sudah tidak boleh jatuh, kerajaan ini kekal kerana wujudnya akta anti lompat dan wujudnya perintah Tuanku supaya kerajaan ini ditubuhkan," ujar beliau.

Mohamed Nazri juga menjelaskan ahli-ahli politik sepatutnya meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.