GEORGE TOWN: Dua pengarah syarikat pembuatan dan pemasaran barangan sembahyang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 18 pertuduhan gagal membayar cukai jualan bagi tempoh bercukai antara Mac 2021 hingga Disember 2023, melibatkan lebih RM16,000.
Moganadass Virachami, 45, dan ibunya, Saroja Devi Subramaniam, 65, selaku orang kena saman (OKS), bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Advertisement
Mengikut pertuduhan, Pengarah KVS Industries Sdn Bhd, Moganadass dan Saroja Devi didakwa gagal membayar cukai jualan bagi 18 tempoh bercukai antara 1 Mac 2021 hingga 31 Dis 2023 membabitkan tunggakan keseluruhan cukai jualan dan penalti RM16,145.44.
OKS didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pendaftaran dan Pengurusan Hasil, Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Seberang Jaya pada 1 Jun 2021 hingga 1 Feb 2024
Moganadass dan Saroja Devi didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 26 (5) Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806) yang dibaca bersama Seksyen 26 (9) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM Karthy Gasedev Deva Rajoo manakala kedua-dua OKS tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 18 Mei depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
--BERNAMA