KUALA LUMPUR:Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memaklumkan permohonan pihaknya untuk menghadap sembah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah dijawab dan diterima pihak istana.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak mendedahkan bila sembah menghadap itu akan dilakukan.

"Kita telah mengemukakan permohonan untuk menghadap Sultan Perak dan ia sudah diterima dan sudah dijawab.

"Saya tidak perlu beritahu tarikhnya dan bila sudah tiba masanya kita akan menghadap Sultan Nazrin," katanya ketika sesi Dialog Bersama Media di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyifatkan kemelut politik yang melanda negeri itu sejak 4 Disember lalu telah berjaya diselesaikan.

"Isu Perak sebahagian besar telah diselesaikan (kerana) pada dasarnya sudah berjaya melantik Menteri Besar dan lima ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) untuk menjalankan tugas.

"Baki jawatan itu (Exco akan dilantik) mengikut proses Perlembagaan Negeri Perak," jelasnya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul keyakinan majoriti ahli dewan terhadap Menteri Besar.