PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini dapat membawa kestabilan, serta dapat menjamin hak Sabah dan Sarawak, kata pemimpin kedua-dua wilayah itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, pihaknya memberi kepercayaan penuh kepada Perdana Menteri, berdasarkan perjanjian permuafakatan yang ditandatangani hari ini.

Katanya lagi, GPS percaya di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia akan menjadi lebih stabil, dan ekonomi yang terjejas akibat COVID-19 dapat dipulihkan semula.

“Jadi, Anwar sebagai Perdana Menteri dapat membawa pandangan secara kolektif (dengan turut mewakili Sabah dan Sarawak), dan kami percaya beliau dapat meneruskan agenda pembangunan, menjamin kesejahteraan, dan mentransformasikan ekonomi negara.

“Seperti kita sedia maklum, ekonomi negara pada tahun hadapan dijangka akan terjejas teruk, jadi kita perlukan kesemua usaha ini untuk membantu Malaysia mencapai kembali tahap terbaiknya dalam situasi ekonomi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Menandatangani Pemuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan, di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Selain Anwar dan Abang Jo, perjanjian itu ditandatangani Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor, dan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.

Sementara itu Hajiji berkata, permuafakatan itu merupakan sesuatu yang cukup istimewa untuk menyatupadukan rakyat Malaysia, dan berikan kestabilan politik bukan saja di peringkat persekutuan, tetapi di peringkat Sabah.

“Kita di Sabah amat perlukan suasana seperti ini kerana ia boleh memberi satu harapan yang begitu baik dan tinggi kepada Sabah, terutama dalam aspek ekonomi dan juga pembangunan di Sabah sebuah negeri yang agak besar.

“Inilah matlamat kita dan saya yakin Kerajaan Perpaduan yang dipimpin PM akan menjadi satu kerajaan yang kuat dan satu kerajaan yang diharapkan pelbagai kaum,” katanya lagi.

Mohd Shafie pula berpandangan dengan terjemahnya permuafakatan seperti itu, beliau yakin ia dapat memantapkan susasana politik dalam negara, yang ia bukan sahaja perlu dipaparkan dalam negara, tetapi juga di luar negara.

“Bila ada kestabilan, saya pasti ekonomi juga akan turut stabil. Salah satu perkara dalam kandungan perjanjian ini ialah Perkara 9, iaitu semangat MA63, formasi yang diterapkan dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan ini, membolehkan kita mencapai sesuatu yang lebih bermakna,” tambahnya.