Beberapa pemimpin Umno menyifatkan kajian persempadanan semula bahagian pilihan raya yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai suatu tindakan positif, selepas kali terakhir urusan persempadanan dilakukan pada 2003.

Rata-rata mereka menyifatkan urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya itu baik untuk parti-parti politik dan ia membolehkan wakil rakyat berkenaan memberi perkhidmatan yang menyeluruh kepada rakyat.

Pada awal bulan ini, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memaklumkan bahawa SPR dijangka mewartakan notis Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akhir tahun ini.

Persempadanan semula yang sepatutnya diadakan pada 2011, ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang diadakan pada 5 Mei 2013.

KESAN POSITIF

Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata proses persempadanan semula bahagian pilihan raya memberi kesan positif terhadap landskap politik negara dan menyuburkan sistem demokrasi.

"Sudah tiba masanya kawasan persempadanan ini dikaji dan dibuat semula kerana kita mesti melihat kepada sistem demokrasi. Kita tidak perlu ada prasangka buruk (kononnya urusan persempadanan semula ini) untuk pihak tertentu mengekalkan kuasa atau mencari kuasa baharu," katanya baru-baru ini.

Ahmad Jazlan berpendapat kajian persempadanan semula ini akan membantu seseorang wakil rakyat itu berkhidmat dan bekerja dengan lebih efektif.

Katanya rakyat tentunya lebih bijak membuat pilihan dan akan terus memberi sokongan serta undian kepada wakil mana-mana parti politik yang berkhidmat cemerlang.

"Jangan menganggap apabila ada persempadanan semula ini akan menyebabkan pihak-pihak tertentu akan kehilangan peluang dan kuasa kerana dalam dunia serba moden ini rakyat semakin bijak.

"Apa yang penting ialah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Jika mereka (rakyat) tidak berpuas hati maka tidak mustahil rakyat akan berpindah kepada parti yang lain," katanya.

TINGKAT KEYAKINAN

Pendapat sama dikongsi Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Azalina Othman Said, yang berpandangan dengan memberikan perkhidmatan terbaik tahap keyakinan rakyat terhadap parti akan meningkat.

"Ini kerana ada wakil rakyat yang mempunyai 30,000 pengundi dan ada pula yang melebihi 100,000 orang. Bagi saya yang penting kita perlu memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

"Kita juga perlu melihat kepada kawasan luar bandar dan bandar kerana perkhidmatan di kawasan bandar dan luar bandar tidak sama dan ia berbeza," katanya.

Beliau berkata rakyat kini semakin bijak dan berpengetahuan, ditambah pula dengan kemudahan sistem teknologi maklumat dan Internet, mereka dapat mengakses maklumat dengan tepat dan cepat.

UTAMAKAN KEMUDAHAN PRASARANA

Anggota Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata persempadanan semula kawasan pilihan raya harus mengutamakan aspek kemudahan prasarana dan infrastruktur yang dapat memenuhi keperluan rakyat secara sama rata.

"Saya memberi satu contoh baru-baru ini ada pejabat kerajaan menjemput untuk temuduga menerusi Internet (online). Cara ini sebenarnya telah membawa kepada diskriminasi bagi kawasan yang tidak mempunyai kemudahan Internet atau akses Internet yang lemah berbanding kawasan bandar.

"Memandangkan kawasan bandar padat maka mereka mempunyai kemudahan yang lebih berbanding penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar jadi mereka tidak mempunyai kemudahan yang sama seperti mereka tinggal di bandar," katanya.

Shahrir berkata ini bermakna konsep politik satu rakyat untuk satu undian itu hanya relevan apabila kemudahan asas itu boleh dinikmati secara sama rata dan tidak ada perbezaan antara masyarakat luar bandar dan bandar.

Berkongsi pendapat serupa dengan Shahrir, Anggota Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang mahu SPR mengambil kira pelbagai aspek lain sebelum proses persempadanan semula dilakukan.

Katanya persempadanan semula dilakukan bukan hanya disebabkan faktor tempoh masa lebih 10 setahun dan SPR bertanggungjawab melaksanakannya tetapi juga melibatkan komposisi pengundi serta hal berkaitan dengan daerah pentadbiran dan kawasan yang berada dalam dua daerah atau mukim berbeza.

"Saya harapkan sebelum sesuatu keputusan dibuat, kerajaan menyelesaikan semua perkara penting. Saya tidak bersetuju kalau persempadanan dibuat hanya menyelesaikan satu aspek sahaja tetapi menimbulkan masalah kepada aspek yang lain.

"Saya percaya perkara ini difahami pucuk kepimpinan negara selain menerima pandangan wakil rakyat pendapat daripada masyarakat dan pihak-pihak berkepentingan harus diambil kira," kata Shamsul Anuar, yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.