KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menghantar cadangan berkenaan parameter kawasan persempadan semula bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijangka dilaksana tahun ini.

Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, kawasan yang terlibat wajar melibatkan penduduk pelbagai bangsa serta pembahagian kawasan bandar dan luar bandar.

“Perkara lain yang kita bincangkan ialah kemungkinan tahun ini ada berlaku persempadanan semula bagu Dewan Undangan Negeri dan kita akan beri pandangan kepada pihak SPR perkara-perkara yang harus diambil kira di dalam kita menentukan kawasan baru yang akan diwujudkan oleh pihak SPR.

“Kerana keputusan itu adalah ditentukan oleh SPR tapi pastinya kita akan memberi cadangan berkenaan kawasan Dewan Undangan Negeri yang perlu diwujudkan berdasarkan parameter asas termasuklah penduduk kawasan itu perlulah mempunyai pelbagai kaum dan keduanya mesti ada perwakilan seimbang dari kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Petra Jaya dekat sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, ADUN Gedong itu tidak mendedahkan jumlah sasaran kawasan baharu memandangkan proses persempadanan semula itu akan diteliti dan ditentukan oleh SPR.

Untuk rekod, kali terakhir persempadanan semula kawasan DUN Sarawak dilaksanakan adalah pada tahun 2015 dengan mengubah komposisi DUN Sarawak daripada 71 kerusi kepada 82 kerusi.