KUALA LUMPUR : Pengumuman Kabinet Kerajaan Perpaduan pada Jumaat menyaksikan buat pertama kalinya Perdana Menteri melantik seorang menteri penuh bagi urusan hal ehwal agama Islam setelah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Ia adalah mengikut Perkara 2(1)(c) Peraturan Baru Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) 2022 yang diisytiharkan pada awal tahun ini susulan ketetapan keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-258 pada 9 hingga 10 Mac 2022.

Pada pengumuman khas itu, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Mohd Na'im Mokhtar dipilih menerajui portfolio agama dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

[LAPOR LANGSUNG] Senarai penuh Kabinet Kerajaan Perpaduan PM Anwar

DAPATKAN LIPUTAN KERAJAAN PERPADUAN DI LAMAN MIKRO INI


BACA: Ahmad Zahid, Fadillah dilantik TPM. Ini senarai penuh Kabinet Perpaduan pimpinan PM Anwar   

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-81 pada 17 Oktober 1968 telah memperkenankan penubuhan sebuah badan di peringkat Persekutuan bagi menyelaraskan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia dalam bidang perundangan, pendidikan Islam dan pentadbiran Islam yang dinamakan MKI.

Bagi merealisasikan keputusan tersebut, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah dipertanggungjawabkan sebagai sekretariat kepada MKI.

Peraturan MKI 1968 telah melalui 7 kali pindaan kecil iaitu pada tahun 1971, 1973, 1976, 1980, 2010, 2011 dan 2018. Pada Mac 2022 tahun ini Peraturan MKI yang baharu diisytiharkan, membatalkan Peraturan MKI 1968 yang lama.

Kabinet Kerajaan Perpaduan Anwar Ibrahim. - Infografik oleh Muhammad Syazwam

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-249 pada 10 Julai 2018 telah menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan (JKT) yang dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid,  manakala  Datuk Afifi al-Akiti, Felo Pusat Pengajian Islam Oxford, sebagai Timbalan Pengerusinya, serta dianggotai lima tokoh Islam lain berwibawa daripada pelbagai latar belakang, termasuk wakil dari Sabah dan Sarawak.

Fungsi JKT selama dua tahun bersidang adalah untuk mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, bidang kuasa serta keberkesanan institusi-institusi Islam sedia ada termasuk institusi perundangan dan kehakiman syariah.

Laporan JKT, setebal dua jilid yang mengandungi 157 syor-syor mengenai cadangan penambahbaikan institusi-institusi Islam di peringkat Persekutuan, telah dipersembahkan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-256 pada 18 Februari 2020.

Ia termasuklah cadangan membuat pindaan terhadap MKI khususnya dari segi struktur dan keanggotaan.