KUCHING: Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama barisan kepimpinan Pakatan Harapan dilihat langkah pertama ke arah pembangunan politik yang positif dalam negara.

Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, pertemuan itu adalah langkah pertama ke arah pemerintahan kerjasama dan sepakat dari kedua-dua belah Dewan Rakyat.

Menurutnya, perubahan itu juga adalah tidak dapat dilakukan jika terdapat parti dominan atau bilangan wakil yang sangat berat sebelah antara gabungan pemerintah dan pembangkang.

"Sehubungan itu, adalah penting bagi kerajaan untuk segera menggerakkan reformasi institusi yang konkrit dan polisi membangkitkan ekonomi seperti dicadangkan oleh PH demi mendapatkan semula kepercayaan rakyat terhadap sistem politik negara selain menyelamatkan nyawa dan ekonomi ketika berhadapan pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya pada Khamis.

Jelas Chong, selain memberikan bantuan suntikan fiskal untuk menyelamatkan ekonomi, perniagaan dan juga pekerjaan, kerajaan juga harus memastikan mekanisme yang digunakan dapat memantau dan memastikan pelaksanaan pemberian peruntukan itu benar-benar sampai ke rakyat yang terjejas. 

Beliau berkata, dari segi menangani wabak pula, kerajaan harus segera menerapkan strategi saringan besar-besaran dan pengesanan kontak serta bukannya strategi saringan yang terhad seperti semasa ini.

Chieng Jen yang juga Pengerusi DAP Sarawak berkata, bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik, kerajaan harus terlebih dahulu membuat undang-undang anti-lompat untuk membendung semua kegiatan lompat parti di masa depan.

"Pengundi akan yakin dengan sistem pemilihan kita apabila calon yang menang tidak akan lompat parti selepas dipilih.

"Ini termasuk pelaksanaan Undi 18 untuk mengiktiraf peranan golongan muda dalam sistem demokrasi negara kita," katanya.

PH Sarawak turut menggesa langkah-langkah ini segera diumumkan dan dilaksana bagi kebaikan negara.