KUALA LUMPUR: Pertukaran Ketua Menteri Melaka dilihat sebagai satu langkah untuk memperkukuh Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri. 

Menurut Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar, meskipun bekas Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Sulaiman Md Ali meletakkan jawatan atas sebab kesihatan, namun spekulasi mengenai jawatan Ketua Menteri itu sudah bertiup kencang sejak tahun 2021 lagi.

"Saya melihat perkara ini apabila kita tahu pertukaran ini telah bertiup lama spekulasinya sejak selesai sahaja PRN Melaka dahulu.

"Datuk Seri Ab Rauf (Yusoh) dikatakan antara individu mendukung Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya lihat beliau ialah individu diyakini pucuk pimpinan yang membawa hasrat dan hala tuju parti, sejajar dengan Kerajaan Perpaduan... (untuk) menubuhkan struktur Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan sebagai contoh negeri lain," jelasnya.

Tambah Hisommudin, Melaka bakal menjadi titik tolak Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan dijangka boleh diaplikasikan di negeri-negeri lain.

"Melaka akan jadi satu titik tolak di mana Kerajaan Perpaduan akan bermula di Melaka, ditunjukkan oleh Barisan Nasional (BN).

"Perkara ini akan diaplikasikan negeri lain dan menuntut juga negeri lain untuk melaksanakan aspirasi Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri masing-masing," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Astro AWANI pada Khamis.

Sulaiman sebelum ini kali pertama menjadi Ketua Menteri Melaka ke-12 menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka ke-11 pada 11 Mac 2018 selepas Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka sebagai Ketua Menteri.

Melaka kemudian terpaksa pula mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap Sulaiman dan menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang selesa dengan 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, selepas PRN Melaka November 2021 lalu, situasi politik di negeri ini beberapa kali berdepan detik genting apabila timbul dakwaan kononnya jawatan ketua menteri akan bertukar tangan.

Desas-desus kuat mengatakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga ADUN Tanjung Bidara bakal menggantikan Sulaiman.

Ahmad Zahid hari ini turut memaklumkan hanya satu nama, iaitu Ab Rauf telah dihantar UMNO kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk dilantik sebagai Ketua Menteri baharu.