Pengumuman Pas Pahang memperuntukkan 10 peratus calon bukan Islam bertanding di kerusi Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang merupakan usaha parti itu meraih sokongan segmen pengundi tersebut.

Walau bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata cabaran sebenar bagi Pas adalah untuk memulihkan semula keyakinan terhadap parti tersebut dalam kalangan pengundi bukan Melayu selepas mereka keluar dari Pakatan Rakyat.

"Jika kita lihat, ada kemungkinan besar model peruntukan calon bukan Islam ini akan diguna pakai Pas bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat pusat.

"Ini untuk meyakinkan pengundi bahawa Pas tidak mengetepikan golongan bukan Islam bukan sahaja di peringkat parti tetapi juga gabungan yang diketuai mereka iaitu Gagasan Sejahtera," kata beliau.

Apabila ditanya sejauh mana strategi ini mampu menawan hati pengundi bukan Islam, Hisomuddin berkata terdapat beberapa aspek yang perlu dilihat oleh Pas untuk mencapai perkara tersebut.

"Pengundi bukan Islam bukan hanya lihat pada calon. Tidak semestinya mereka akan mengundi calon bukan Islam yang diletakkan Pas.

"Mereka ingin melihat sama ada polisi yang direncana parti serta tawaran-tawaran manifesto parti sesuai dengan keperluan mereka. Ini yang menjadi penentu," kata Hisomuddin ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambah beliau, parti-parti lain yang turut bersama Pas dalam Gagasan Sejahtera harus lebih menonjol dalam usaha untuk meraih sokongan pengundi bukan Islam.

"Setakat ini, kita tidak melihat apa-apa nilai tambah yang dibawa oleh parti-parti tersebut dalam meraih sokongan segmen pengundi bukan Islam," katanya.

Setakat ini Gagasan Sejahtera terdiri daripada empat parti iaitu Pas, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).

Selain itu, ada pimpinan Pas yang mendakwa blok parti ini turut disokong ratusan badan bukan kerajaan (NGO).