Kerjasama politik antara Pas dan UMNO merupakan sesuatu perkara yang ditakuti oleh Pakatan Harapan (PH), kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, hubungan baik dua parti terbesar Melayu itu merupakan sesuatu yang diimpikan masyarakat Islam di negara ini, dan atas sebab itu Pakatan Harapan mencuba sedaya upaya untuk menggagalkan kerjasama itu, termasuk menimbulkan persepsi negatif terhadap Pas.

“Malam ini Pas dan UMNO sekali lagi bersama-sama atas satu pentas untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, dan kita dapat lihat betapa kerja sama antara UMNO dan Pas terjalin sedikit demi sedikit.

“Ini merupakan kesinambungan kerjasama dua parti Melayu terbesar, dan ini merupakan sesuatu perkara yang dinanti-nantikan majoriti rakyat negara ini, satu kerjasama, satu dimensi politik baharu. Dan bila Melayu bersatu, ia tidak akan membawa mudarat kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Perdana BN dan Pas sempena PRK itu.

Turut hadir memberi ceramah di hadapan kira-kira 1,500 hadirin itu ialah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau mengharapkan PRK itu dapat dijadikan referendum bantahan kepada kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan untuk menjaga kebajikan rakyat, serta kegagalan mereka dalam memastikan ekonomi negara lebih stabil.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, adalah pelik apabila perpaduan Melayu dianggap sebagai satu perkara yang berunsurkan perkauman, sedangkan mereka merupakan kaum majoriti di negara ini, dan Islam itu sendiri adalah Agama Persekutuan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya lagi, rakyat, terutamanya kaum Melayu dan Bumiputera harus sedar atas sebab kegagalan itu, mereka seolah-olah menumpang di negara sendiri.

“Apakah ini Malaysia Baharu yang kita mahukan? Orang Melayu terdesak di negara sendiri, orang Islam dihina, Nabi kita diejek?

“Inilah perkara yang merunsingkan kita. Kita dah macan berdagang dan menumpang di negara sendiri,” katanya lagi.