KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menafikan laporan sebuah portal berita tempatan kononnya bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman bakal mengetuai gabungan politik itu.

Menerusi kenyataan bersama pada Jumaat, gabungan itu menyatakan bahawa perkara tersebut tidak pernah dibincang atau diputuskan oleh mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick, Pengerusi PKR Sabah Datuk Sangkar Rasam, Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon dan Pengerusi Amanah Sabah Lahirul Latigu.

Menurut kenyataan itu, PH Sabah amat terkejut dengan laporan bertajuk Musa Aman akan ketuai PH Sabah? yang tular di media sosial dan menimbulkan kekeliruan serta kerisauan rakyat.

"PH Sabah mengambil pendirian bahawa mana-mana keputusan mustahak berhubung kait dengan mandat dan keyakinan rakyat seharusnya dipertimbang, diteliti dan diperhalusi sebulat suara pada peringkat pimpinan PH Sabah.

"PH Sabah akan bertemu dan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara ini termasuk hala tuju PH Sabah menjelang pilihan raya negeri yang bakal diadakan," katanya.

-- BERNAMA