Skip to main content

Politik

PRN Melaka: PH umum calon 21 kerusi, tujuh lagi kosong

Pengumuman senarai calon berkenaan dibuat Anwar, pada majlis pengumuman calon di pekarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, malam ini. - Gambar Astro AWANI
Pengumuman senarai calon berkenaan dibuat Anwar, pada majlis pengumuman calon di pekarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, malam ini. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan bertanding di 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Daripada jumlah itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding di sembilan kerusi, DAP tujuh kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) lima kerusi.

Pengumuman senarai calon berkenaan dibuat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada majlis pengumuman calon di pekarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, malam ini.

Tujuh kerusi yang tidak diumumkan ialah N03 Ayer Limau, N04 Lendu, N05 Taboh Naning, N11 Sungai Udang, N12 Pantai Kundor, N21 Duyong dan N24 Bemban.

Antara nama yang diumumkan ialah Adly Zahari bagi DUN Bukit Katil, Datuk Azman Abidin (Paya Rumput), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (Durian Tunggal) dan Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya).

Turut disenaraikan ialah Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah (Kuala Linggi), Mohd Yunazri Mustamiri (Tanjung Bidara), Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan (Rembia), Jegasilan K. (Gadek) dan Denesh A/L Palasubramaniam (Asahan).

Calon lain ialah Farzana Hayani Mohd Nasir (Kelebang), Jason Tze-Xi Nathan (Pengkalan Batu), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Muhammad Hakimin Mokhtar (Ayer Molek), Seah Shoo Chin (Kesidang) dan Low Chee Leong (Kota Laksamana).

Senarai itu turut membariskan Poo Long Suan (Duyong), Leng Chau Yen (Bandar Hilir), Kapten (B) Mohamad Jaafar (Telok Mas), Esma Eazreen Husin (Rim), Muhammad Faiq Azman (Serkam) dan Rahayu Hamzah (Merlimau).

Pada PRN Melaka 2021, PH hanya memenangi lima kerusi, masing-masing empat menerusi DAP dan satu Amanah, manakala PKR gagal memperoleh sebarang kerusi.

Barisan Nasional (BN) pula mencatat kemenangan besar dengan menguasai 21 kerusi, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga, sementara Perikatan Nasional (PN) memenangi dua kerusi.

DUN Melaka dibubarkan pada 23 September lalu bagi memberi laluan kepada PRN ke-16 yang dijadual berlangsung pada 14 November ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November.

Must Watch Video

Advertisement