SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) optimis gabungan bersama Barisan Nasional (BN) dapat memperkukuhkan sokongan, sekali gus membolehkan ia mempertahankan kemenangan bagi tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, hasil kaji selidik dan data setiap bulan mendapati, tahap kepuasan pengundi terhadap pentadbiran kerajaan PH di ketiga-tiga negeri terbabit adalah tinggi,

Beliau berkata, Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun meraih peratusan tertinggi iaitu 75 peratus, satu petanda positif dalam potensi bagi mempertahankan negeri berkenaan.

"Mengikut data daripada Januari hingga Mei, antara soalan paling biasa ditanyakan kepada pengundi dalam kaji selidik itu, adakah mereka menyokong dan berpuas hati dengan kerajaan negeri sedia ada ini?

"Sebanyak 75 peratus pengundi di Negeri Sembilan menjawab, mereka berpuas hati dengan kerajaan negeri yang ada sekarang ini iaitu peratusan paling tinggi daripada keenam-enam negeri, kita doakan keadaan ini berterusan," ketika berucap pada program Ceramah Jelajah MADANI Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, di sini, malam tadi.

Rafizi berkata, meskipun tidak memperincikan data bagi negeri-negeri lain, beliau optimis tahap kepuasan hati yang tinggi ditunjukkan oleh pengundi terutamanya bagi pengundi berusia 30 tahun ke atas memberikan petunjuk positif PH akan kekal menerajui negeri berkenaan.

Turut mengadakan PRN kali ini adalah Kedah, Terengganu dan Kelantan yang ditadbir oleh Pas.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata, selaras dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan, kekuatan PH dan BN di negeri itu diyakini kukuh untuk terus mentadbir serta memacu ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, PH dan BN akan turun berkempen di semua kawasan yang ditandingi kedua-dua gabungan itu bagi menggandakan usaha memastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan. - BERNAMA