KUALA LUMPUR: Sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dilihat sebagai satu entiti yang bergabung secara rasmi.

Sebaliknya sokongan diberikan hanya untuk mengukuhkan kerajaan di peringkat Persekutuan bukannya di peringkat negeri.

Justeru Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir melihat sebarang usaha pimpinan PN negeri untuk mengintai kerusi di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai mengguris kepercayaan GPS.

‘’Apabila GPS bersetuju untuk menyokong PN tempoh hari bermula dengan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudian disusuli Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Perdana Menteri), mereka sebenarnya menyatakan dengan jelas bahawa mereka bukan secara rasmi sebagai entiti politik yang bergabung di bawah PN.

‘’Tetapi sebenarnya PN plus iaitu PN campur GPS maksudnya mereka hanya bergabung di peringkat Persekutuan tapi tidak bergabung di peringkat negeri,’’ katanya.

Jelasnya lagi, GPS secara tegas telah menyatakan pendiriannya untuk bertanding di semua kerusi yang dipertandingkan di Sarawak sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya akan datang.

‘’Mereka (GPS) tidak mahu berkompromi dan mereka sebenarnya bertegas untuk tidak menyerahkan mana-mana kerusi Parlimen dan DUN.

‘’Ini kerana dari awal lagi pimpinan tertinggi GPS khususnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyatakan bahawa mereka akan bertanding di 82 kerusi DUN dan 32 kerusi Parlimen.

''Mereka sama sekali tidak mahu membuka ruang kepada parti komponen dalam PN,’’ tambahnya.


Panggilan Video | Perikatan Nasional akan bertanding di Sarawak?

Selain itu, Jeniri turut mengingatkan kenyataan Naib Presiden PBB, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang meminta parti dari Semenanjung untuk tidak bertanding di Sarawak bukan kerana menolak amalan demokrasi.

Ini kerana ia hanya ditujukan kepada parti komponen PN dan bukannya kepada Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu Pengerusi Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf Abdillah, menyatakan kehadiran PN di Sarawak akan mengukuhkan lagi kedudukan GPS.

Malah Ahli Majlis Pemimpin Tertinggi Bersatu, Datuk Zuraidah Kamaruddin ketika kunjungannya ke Sarawak pada April lepas menyatakan hasrat parti itu bertanding di Sarawak menggunakan tiket GPS.