IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganjurkan sesi temu rapat atau pemukiman di Subang bermula malam ini bagi membincangkan strategi dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata sesi itu yang dihadiri semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara PKR akan dimulakan dengan ucaptama presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini.

Katanya, ia akan diiikuti dengan bengkel strategik esok.

"Biasanya sesi macam ini kita ada sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya. Dalam tradisi Keadilan (PKR) temu rapat (retreat) ni akan jadi satu platform untuk pimpinan memberikan idea-idea baharu, strategi baharu.

"Pimpinan akan melihat kembali apakah 'the missing element' dalam persiapan parti menghadapi pilihan raya.

"Persiapan menghadapi pilihan raya (pemukiman sebelum ini) ada juga kelainannya berbanding pilihan raya yang akan datang... kalau dari segi isu, dulu tumpuan kita adalah GST, tumpuan kita adalah 1MDB dan beberapa skandal lain. Tapi sekarang ini tumpuan kita adalah COVID-19 dan kesannya kepada kehidupan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Tambun di Ipoh pada Ahad.

Menurutnya, selepas sesi temu rapat PKR, sesi yang sama akan diadakan di kalangan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) pada 8 dan 9 April depan.