Skip to main content

Politik

PKR Kedah desak Sanusi berhenti salahkan PM Anwar dalam isu lesen premis perjudian

Sumber: BERNAMA
Tunku Nashrul menggesa Sanusi menjelaskan secara berfakta mengenai kekalahan kerajaan negeri dalam tindakan undang-undang berkaitan lesen premis perjudian dan tidak mengalihkan perhatian kepada pihak lain. - Gambar fail
Advertisement

ALOR SETAR: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah mengecam kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu lesen premis perjudian di negeri itu dan menggesa beliau berhenti menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Komunikasi MPN Keadilan Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, tindakan mengaitkan Perdana Menteri dengan keputusan mahkamah berhubung isu berkenaan tidak berasas kerana kes tersebut diputuskan secara bebas oleh badan kehakiman.

Menurutnya, tindakan pentadbiran kerajaan negeri yang sebelum ini membatalkan lesen premis perjudian telah dicabar oleh pihak pengendali sebelum mahkamah memutuskan bahawa tindakan tersebut melangkaui bidang kuasa kerajaan negeri.

Beliau berkata, permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan itu turut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

“Kes ini berpunca daripada keputusan pentadbiran Sanusi sendiri, dicabar oleh pihak pengendali dan diputuskan secara bebas oleh badan kehakiman.

“Perdana Menteri tidak terlibat dalam menentukan keputusan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tunku Nashrul berkata, Malaysia mengamalkan prinsip pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman, justeru keputusan mahkamah tidak seharusnya dijadikan modal politik untuk menyerang mana-mana pihak.

Beliau turut mendakwa, Pas mempunyai rekod yang bercanggah dalam isu perjudian apabila pentadbiran Perikatan Nasional yang disertai parti itu sebelum ini meningkatkan jumlah cabutan khas perjudian daripada lapan kepada 22 kali setahun.

Sebaliknya, katanya, kerajaan pimpinan Anwar telah mengurangkan semula jumlah cabutan khas itu kepada lapan kali setahun.

Dalam masa sama, Tunku Nashrul menggesa Sanusi menjelaskan secara berfakta mengenai kekalahan kerajaan negeri dalam tindakan undang-undang berkaitan lesen premis perjudian dan tidak mengalihkan perhatian kepada pihak lain.

“Sanusi usah alih tiang gol, sila jawab kekalahan pentadbiran sendiri sevcara berfakta dan berhenti menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran,” tegas beliau lagi.

Isu lesen premis perjudian di Kedah kembali menjadi perhatian selepas keputusan mahkamah yang memihak kepada pengendali premis terbabit, sekali gus membatalkan tindakan kerajaan negeri yang tidak memperbaharui lesen mereka.

Must Watch Video

Advertisement