Skip to main content

Politik

PKR terima hasrat Rafizi, Nik Nazmi kosongkan kerusi Parlimen - Fuziah

JOHOR BAHRU, 4 April -- Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh bercakap kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Program Agihan Minyak Masak Bersubsidi yang diperkasa melalui aplikasi digital eCOSS di sebuah pasar raya di Johor Bahru, hari ini._BERNAMA
Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata parti itu telah menerima rakaman ucapan kedua-dua pemimpin berkenaan yang mengumumkan keputusan tersebut hari ini. -Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima hasrat Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad untuk mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing serta keluar daripada parti itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata parti itu telah menerima rakaman ucapan kedua-dua pemimpin berkenaan yang mengumumkan keputusan tersebut hari ini.

Beliau berkata berdasarkan Fasal 9(1)(c) Perlembagaan PKR, keanggotaan mereka dalam parti tergugur susulan pengisytiharan keluar parti.

"Pengisytiharan itu adalah jelas bertepatan dengan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fuziah menambah, beliau akan merujuk kes kedua-dua Ahli Parlimen itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung status kerusi mereka berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memaklumkan PKR akan menentukan status keanggotaan Ahli Parlimen parti itu yang hadir dalam program berkaitan pengumuman tersebut.

Rafizi dan Nik Nazmi pada Ahad mengumumkan akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa Isnin.

Mereka yang masing-masing merupakan bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Naib Presiden PKR memaklumkan keluar dari PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia pada Selasa.

Must Watch Video