Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengeluarkan surat tuntutan bagi menuntut 19 Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak keluar dari parti itu; membayar RM10 juta tiap seorang, termasuk daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (MP Gombak) serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (MP Ampang).

Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung dalam satu kenyataan pada Rabu berkata ia merupakan bayaran pampasan yang telah dipersetujui mereka sebelum ini untuk dibayar sekiranya mereka berpaling tadah daripada PKR, dan memperuntukkan kerusi itu untuk kepentingan peribadi, di samping menggunakannya bagi tujuan yang bertentangan daripada kepentingan parti.

"Surat tuntutan itu menuntut mereka untuk membayarnya tidak kurang daripada tempoh tujuh hari. Sekiranya mereka gagal dalam tempoh masa dan aturan yang ditetapkan, parti telah mengarahkan pihak peguam untuk meneruskan prosiding yang sesuai terhadap mereka bagi mendapatkan pampasan yang dituntut," menurutnya.

Bagi kumpulan MP, selain Azmin dan Zuraida, surat tuntutan itu turut dihantar kepada Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Jonathan Yasin (Ranau) dan Baru Bian (Selangau).

ADUN pula melibatkan Dr Chong Fat Full (Pemanis), Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia), Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Azman Nasrudin (Lunas), Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam), Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh).