KUALA LUMPUR: Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) mengulangi seruan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengiktiraf Kabinet Bayangan pembangkang seperti yang dilaksanakan di negara demokrasi berparlimen yang matang termasuk United Kingdom, Australia, Kanada dan New Zealand.

Menerusi kenyataan media, Projek SAMA berkata pengiktirafan Kabinet Bayangan selari dengan gagasan Madani iaitu memupuk hormat; keyakinan; menunjukkan daya cipta; serta menginsentifkan kesejahteraan.

Justeru, pihaknya mencadangkan empat perkara bagi pengiktirafan Kabinet Bayangan, antaranya
menteri-menteri bayangan mengangkat sumpah sebagai pembangkang setia di bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.


"Menteri-menteri bayangan diberi elaun bulanan RM5,000 (hampir sepertiga daripada gaji menteri, mencontohi Australia) tanpa pencen, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan segala imbuhan yang lain.

"Menteri-menteri bayangan diberi sumber untuk menggaji seorang penyelidik yang berkelulusan sesuai dengan portfolio mereka.

"Selain itu, menteri-menteri bayangan diberi akses yang bersesuaian kepada maklumat kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Projek SAMA berkata, Perikatan Nasional (PN) diharap memanfatkan rombakan Kabinet Bayangan, yang dibuat gabungan itu baru-baru ini bagi menonjolkan kaliber dan kesediaan menjadi menteri pada masa akan datang.

"Projek SAMA yakin bahawa semua rakyat akan beruntung dan ekonomi bertambah baik sekiranya parti-parti kerajaan dan pembangkang dapat bersaing atas dasar dan penyelesaian untuk cabaran yang menduga Malaysia.

"(Ini lebih baik) daripada bertikam lidah dan berlawan sorak atas perang budaya fasal etnik, agama, bahasa serta istana," tambah Projek SAMA.

Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan lima barisan Ketua Portfolio baharu dalam Kabinet Bayangan bagi menyelaraskan pengurusan gabungan itu sebagai pembangkang di Parlimen dalam memperjuangkan nasib rakyat.

Antara lima portfolio baharu ialah Portfolio Ekonomi, Portfolio Digital, Portfolio Pengajian Tinggi, Portfolio Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dan Portfolio Wilayah Persekutuan.