KUALA LUMPUR: Perdana Menteri kerajaan baharu kelak perlu mengangkat semula tujuh tawaran yang sudah dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, pertimbangan tujuh tawaran itu berupaya 
mengelakkan budaya politik yang terlalu banyak helah, strategi atau muslihat pada masa hadapan.

Bahkan, kata Sheikh Umar, tawaran berkenaan perlu menjadi asas keperluan untuk wakil rakyat berkhidmat dengan lebih baik.

"Bentuk tawaran yang ditawarkan Muhyiddin itu sebenarnya perlu menjadi asas yang menjadi keperluan kepada semua wakil rakyat untuk berkhidmat dengan lebih baik.

"Saya yakin dan percaya, negara yang telah matang demokrasinya seperti di Barat, kita lihat sebenarnya peruntukan sama rata ini membolehkan wakil rakyat berkhidmat dengan lebih berkesan walaupun ia merupakan wakil rakyat daripada pembangkang," katanya dalam sidang secara maya pada Selasa.



Tujuh tawaran Perdana Menteri sekiranya persetujuan bipartisan dicapai

BACA: Pelaksanaan Undi 18 antara tujuh tawaran Perdana Menteri

BACA: Jabatan Peguam Negara siar Warta Kerajaan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sementara

BACA: 
Kabinet saya hanya fikir COVID-19, bukan politik - Muhyiddin

Dalam pada itu, beliau berkata, disiplin dalam parti adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana mandat untuk bertanding dalam pilihan raya datang daripada kepimpinan parti.

Ketika menyampaikan Perutusan Khas pada Jumaat, Muhyiddin memberi tujuh tawaran kepada pemimpin parti pembangkang untuk mendapatkan persetujuan bipartisan.

Antara tujuh tawaran tersebut ialah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat, peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti dan pelaksanaan Undi 18 tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik.

Dalam pada itu jelas Sheikh Umar, kelewatan Muhyiddin menimbulkan kesangsian terhadaap sejauh mana kejujuran serta keikhlasan tawaran berkenaan.

Ujarnya, situasi itu berbeza seperti pelaksanaan awal yang berlaku di antara kerajaan dan pembangkang di Johor sejak Mac 2020.

"Kalau kita lihat di Johor, ia sudah dilaksanakan seawal kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk pada Mac 2020, seawal itu sudah ada Perjanjian Keyakinan dan Bekalan (CSA) berkenaan.

"Dalam beberapa pertemuan Ketua Pembangkang dengan Menteri Besar Johor, beliau tidak mahu dia disebut sebagai CSA, kerana hujahnya, sebagai kerajaan bertanggungjawab dan ingin memberikan hak kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang," katanya.

CSA adalah perjanjian bertulis di antara sebuah parti politik atau beberapa Ahli Parlimen bersama pihak kerajaan minoriti berkenaan apa-apa usul undi kepercayaan, rang undang-undang yang mustahak atau undi perbekalan atau belanjawan yang bakal dibentangkan dan diputuskan melalui proses pengundian di Dewan Rakyat.