IPOH: Perikatan Nasional (PN) akan membuat penilaian berhubung keputusan sama ada untuk mengekalkan penyandangnya atau sebaliknya di semua kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penilaian itu akan dibuat berdasarkan kepada semua aspek termasuk tahap sesuatu calon yang mampu menyumbang kepada kemenangan parti pada kerusi yang dipertandingkan.

“Kita akan menilai apabila masanya sampai pada pilihan raya sama ada penyandang kerusi itu memang calon yang terbaik, dan boleh pertahankan kerusi.

“(Jika calon itu boleh menang sudah) pastinya itu kita akan pertahankan (calon itu untuk terus bertanding di kerusi yang disandangnya).

“Tetapi apakah (jika ada) kemungkinan di satu dua tempat di mana perlu ada perubahan (dari segi calon itu), ia akan dinilai oleh pimpinan tertinggi Perikatan Nasional.

“(Sudah pasti perkara) itu kita akan teliti dan kita akan buat keputusan kemudian. Walau bagaimanapun prinsipnya ialah soal kemampuan seseorang calon itu untuk menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PN Perak di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dalam pada ketika diminta mengulas berkenaan konsep penyatuan ummah yang Pas masih berusaha untuk meneruskannya bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin berkata ia adalah usaha yang baik.

Walau bagaimanapun tegas Presiden Bersatu itu, pihaknya kini memberi fokus kepada usaha dalam mengukuhkan lagi kekuatan sesama parti komponen dalam gabungan PN.

“Pendirian Pas untuk meneruskan perpaduan ummah itu semua parti dalam PN bersetuju kerana ia hasrat yang amat baik. Namun dari segi bagaimana kerjasama politik itu Wallahualam.

“Tapi yang pentingnya dalam PN, gabungan-gabungan parti kita sudah bersepakat. Misalnya seperti di Perak ini, gabungan kami bergerak atas nama PN.

“Jika mereka tidak selari dan sememangnya tidak bersama dengan kita, maka kita akan menghadapinya iaitu BN (Barisan Nasional) mahupun PH (Pakatan Harapan) (pada PRU15),” jelas beliau.