Skip to main content
Advertisement

Politik

PN ambil tindakan undang-undang cabar keputusan RoS - Takiyuddin

[TB]_TAKIYUDDIN HASSAN_PERIKATAN NASIONAL
Takiyuddin berkata, PN tidak menolak kemungkinan tindakan berkenaan mempunyai unsur niat tidak baik atau mala fide. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) sedang mengambil langkah segera melalui proses undang-undang susulan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menggantung semua kegiatannya dan memulakan proses untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu mengambil maklum keputusan berkenaan, namun tidak bersetuju dengan asas yang digunakan RoS.

“PN mengambil maklum keputusan RoS di atas, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia.

“Ini demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didokong oleh ahli-ahli dan penyokongnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Takiyuddin berkata, PN tidak menolak kemungkinan tindakan berkenaan mempunyai unsur niat tidak baik atau mala fide serta tekanan politik daripada pihak di dalam dan luar parti.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan pihak yang didakwa terbabit atau asas kepada dakwaan berkenaan.

Menurut Takiyuddin, PN menerima notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 berhubung hasrat RoS untuk membatalkan pendaftaran parti itu selepas tempoh 30 hari diberikan untuk mengemukakan tunjuk sebab.

Katanya, cadangan pembatalan pendaftaran itu berkaitan aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terhadap PN berhubung satu mesyuarat yang diadakan pada 16 Julai lalu.

Susulan notis berkenaan, PN turut menerima perintah di bawah subseksyen 13(2A) akta sama yang mengarahkan semua kegiatan parti itu digantung sehingga satu tarikh yang belum ditentukan.

Menurut kenyataan itu, notis dan perintah berkenaan masing-masing diserahkan kepada PN pada 22 dan 23 September.

Takiyuddin turut menarik perhatian bahawa tindakan itu berlaku ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diumumkan dan berkuat kuasa bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sehubungan itu, PN menyeru ahli dan penyokongnya supaya bertenang serta memberi jaminan perkara berkenaan sedang diuruskan.

Katanya, parti itu juga akan memberikan maklumat dan dokumen berkaitan kepada masyarakat secara telus serta memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan sama, PN mengenakan larangan serta-merta kepada mana-mana pihak daripada mengeluarkan kenyataan bagi pihak parti itu.

Menurut Takiyuddin, hanya Pengerusi dan Setiausaha Agung PN dibenarkan mengeluarkan kenyataan bagi pihak gabungan berkenaan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement