SHAH ALAM: Kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak lagi dianggap kubu kuat UMNO ketika ini memandangkan Perikatan Nasional (PN) mula bertapak dan membina pengaruh kuat di tanah rancangan itu.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, peralihan sokongan pengundi di segmen itu dipengaruhi dua faktor utama iaitu naratif Melayu dan Islam yang diangkat gabungan berkenaan.

“Majoriti sokongan orang Melayu khususnya di luar bandar dalam aspek politik berada dalam dua elemen ini, semangat Melayu dan semangat Islam. Sebelum ini naratif Melayu banyak dipegang oleh UMNO, manakala naratif Islam banyak dipegang oleh Pas.

“Disebabkan pelbagai faktor dalaman dan luaran, sekarang UMNO sedikit kehilangan naratif Melayu. Kedua-dua naratif Melayu dan Islam sekarang banyak dipegang oleh PN, khususnya Pas.

“Pas dilihat oleh orang Melayu sebagai penyelamat Melayu dan Islam mutakhir ini, inilah persepsi politik orang Melayu sekarang khususnya di luar bandar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pemimpin pembangkang Felda kini bukan lagi menjadi kubu kuat UMNO, namun ia sudah berubah menjadi kubu kuat Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut Mohd Yusri, atas faktor yang dinyatakan tersebut menjadi punca PN berjaya menembusi kubu kuat UMNO sebelum ini termasuk Felda.

Pada Isnin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan mendakwa kawasan penempatan Felda kini tidak lagi menjadi kubu kuat UMNO.

Katanya, perkara itu terbukti apabila sokongan peneroka dilihat sudah beralih kepada PN dalam pilihan raya baru-baru ini. - Sinar Harian