KUALA LUMPUR:Kerjasama antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) khususnya di Perak dilihat sangat rapuh selain tidak berfungsi dengan baik.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, perkara itu dilihat selepas usul undi tidak percaya terhadap Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berada dalam gabungan parti itu.

"Di sini kita boleh buktikan bahawa PN dan MN sangat rapuh dan tidak berfungsi dengan baik khususnya di negeri Perak melibatkan ketiga-tiga parti ini.

"Lebih-lebih lagi apabila UMNO bertindak dalam melakukan undi tidak percaya atau menolak kepimpinan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar.

"Ini kerana UMNO menyifatkan Ahmad Faizal sebagai pemimpin yang tidak mahu berunding dengan UMNO atau sukar ditemui (untuk sebarang perbincangan).

"(Selain itu) isu yang meletakkan calon Pangkalan Ulu tanpa berunding dengan UMNO juga antara bibit-bibit jelas membuktikan tidak berlakunya rundingan atau muafakat antara kerajaan PN dengan BN di Perak," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.


BACA: Undi percaya DUN Perak: MB Faizal Azumu gagal peroleh sokongan majoriti

BACA: "Penubuhan kerajaan baharu Perak akan berjalan lancar"- Faizal Azumu


Ahmad Faizal yang dipilih menjawat jawatan Menteri Besar Perak sebelum ini gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya yang berlangsung pada Jumaat.

Sebanyak 48 undi tidak menyokong usul berkenaan dan hanya 10 yang menyokong manakala terdapat satu undi rosak atau berkecuali.

Dalam pada itu, Hisomuddin berkata, tindakan berani yang dibuat UMNO turut memperlihatkan parti itu mahu angka majoriti perlu dihormati semua parti dalam PN.

"Ini merupakan isyarat amaran daripada UMNO kepada Bersatu dan Pas bahawa angka majoriti (yang ada bagi sesebuah parti) perlu dihormati memandangkan UMNO mempunyai ADUN yang lebih ramai.

"Bagaimanapun saya percaya, perkara itu dapat diselesaikan jika rundingan dan kerjasama antara semua parti perlu diselesaikan secara menyeluruh," ujarnya.