PAGOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong langkah pembahagian kerusi membabitkan gabungan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dilakukan lebih awal.

Beliau berkata, meskipun belum diputuskan secara rasmi, langkah itu bagi membolehkan gerak kerja awal oleh jentera setiap parti komponen dapat dilakukan.

“Pada dasarnya saya setuju lebih cepat kita selesaikan pembahagian kerusi sekarang maka ia akan membolehkan jentera parti dan pimpinan parti PN baik Pas, Bersatu, Gerakan, Semenanjung termasuk Sabah, Sarawak STAR dan SUPP.

“Jadi dia tahu secara khusus, Pagoh ini siapa punya, kerusi Bakri siapa punya, kerusi Muar siapa punya contohnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Sukan Pagoh, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya pengagihan kerusi berkenaan diselesaikan awal, perkara lain dapat diberi perhatian bagi memastikan gabungan itu berjaya membentuk kerajaan.

Dalam perkembangan lain beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, PN masih belum ada perbincangan secara rasmi dengan PH untuk bergabung dalam menghadapi PRU15 akan datang.

Jelasnya, pihaknya sedang meninjau kemungkinan dalam mengatur strategi penting bagi menghadapi PRU untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul.