KUALA TERENGGANU: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu mendakwa tindakan Perikatan Nasional (PN) yang tidak serius dalam rundingan peruntukan menjadi punca empat daripada Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausahanya, Muammar Qaddafi Mohd Nasir berkata, tindakan itu menggambarkan tiada kesungguhan serta kurangnya komitmen pimpinan gabungan parti politik itu dalam menangani isu-isu ahli Parlimen untuk berkhidmat dengan lebih berkesan.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali mengulangi komitment beliau untuk memberi peruntukan yang adil kepada semua Ahli Parlimen termasuk dalam kalangan PN dan meminta perundingan dilakukan diantara wakil PN dan wakil Kerajaan Perpaduan.

"Rundingan dan perjanjian persefahaman antara kerajaan dan parti pembangkang bukan perkara baharu dan pernah dilaksana pada 2021 ketika PN memerintah.

"Pakatan Harapan (PH) ketika itu sudi mengetepikan soal politik dan menandatangani satu perjanjian dengan pihak kerajaan supaya ahli Parlimen mereka dapat menjalankan khidmat dengan baik untuk rakyat," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Justeru, katanya, Pemuda Amanah Terengganu menzahirkan rasa kesal dan menyeru agar pimpinan PN lebih serius dalam soal perundingan dan kebajikan rakyat.

"Apa alasan pemimpin PN tidak menyambut seruan baik Perdana Menteri untuk berunding dengan kepentingan rakyat?

"Seharusnya mereka perlu segera menjayakan rundingan dan tidak lagi bermain politik yang boleh merugikan rakyat.

"Tidak rugi jika PN berunding dan jika perlu menandatangani sebarang perjanjian bersama kerajaan melainkan ada usaha atau cita-cita peribadi pemimpin PN yang mungkin terhalang jika sebarang MoU ditandatangan," katanya.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim Ahli dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengisytiharkan menyokong kepimpinan Anwar namun tetap akan taat, setia serta kekal sebagai ahli Bersatu.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memulakan tindakan tersebut pada 12 Oktober disusuli Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, dua minggu kemudian. - Sinar Harian