MELAKA: Selepas bertemu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mengesahkan beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Parti Amanah Nasional (Amanah), Mohamad Sabu pula semalam.

Dalam kenyataan ringkas kepada wartawan, Idris berkata, pertemuan yang berlangsung itu hanyalah perjumpaan biasa dengan pemimpin pembangkang.

"Tiada sebarang tawaran, dia (Mohamad Sabu) ucap tahniah dan teruskan perjuangan mencegah kemungkaran dan membina kesejahteraan rakyat," kata Idris.

Sebelum ini, tular di laman sosial gambar bekas Ketua Menteri Melaka Kesepuluh itu bertemu Mohamad Sabu dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari.

Pertemuan itu mencetus tanda tanya ketika negeri Melaka sedang bergelora ekoran krisis politik sehingga menyebabkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka Keempat Belas berkuatkuasa 4 Oktober lalu bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Semalam, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan mereka hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Pembubaran itu dibuat susulan empat ADUN  negeri termasuk Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) mengumumkan telah hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Isnin lalu.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi dipegang BN, Bersatu (dua), DAP (tujuh), PKR (dua), Amanah (dua) dan Bebas (satu).