KUALA LUMPUR: Kabinet akan menentukan langkah seterusnya mengenai kemelut politik di Melaka selepas mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, minggu depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Seri Paduka Baginda perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk Peguam Negara, Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita mengadakan mesyuarat Kabinet pagi tadi dan kita ada bincang mengenai situasi di Melaka.

"Setakat ini, kita masih belum membuat sebarang keputusan, sebab saya difahamkan Agong akan berjumpa Peguam Negara, Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Jadi kita tunggulah selepas sesi taklimat dengan Timbalan Agong atau Pemangku (Agong), Kabinet akan buat keputusan minggu depan," katanya selepas menghadiri majlis Prapelancanran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Kabinet berhubung kemelut politik di Melaka.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN negeri itu.

Menurutnya, perkara itu telah diputuskan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Ia selepas empat  ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Sebelum ini, kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).