KUALA LUMPUR: Keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diputuskan selepas meneliti kesemua aspek keselamatan dan risiko yang ada.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia perlu melihat dari pandangan segala kepakaran yang akan membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Pilihanraya  (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita belajar daripada apa yang berlaku dalam PRN Sabah dan kita tengok kesannya. Agenda kita adalah untuk selamatkan rakyat.

"SPR akan tentukan selepas kita bawa kepada pimpinan tertinggi. Saya dah arah MKN untuk dekati pihak berkenaan termasuk KKM," katanya kepada media selepas hadir pada Program Bakul MINDEF Prihatin bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee di ibu negara pada Rabu.

Beliau ditanya media mengenai perkembangan yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Melaka selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai semalam, dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Pembubaran DUN Melaka itu dibuat selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya pada isnin.

BACA: DUN Melaka bubar: Tiada pilihan selain PRN, harap tidak berlaku penularan COVID-19 -Penganalisis


BACA: Bubar DUN: Keabsahan kerajaan 'caretaker'? PH Melaka akan rujuk mahkamah - Adly


“Saya nak tahu daripada pakar-pakar apa kesanya kalau sekiranya kita adakan PRN di Melaka. Jadi itu pertimbangan yang perlu kita fikirkan dalam memutuskan apa yang patut kita meniti perkembangan di negeri Melaka,” jelasnya.
[LAPOR LANGSUNG]: Melaka bergolak: Perlukah darurat diisytihar?


Empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).