AYER KEROH: Pakatan Harapan (PH) Negeri Melaka berpandangan adalah tidak wajar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dibenarkan menjadi Ketua Menteri kerajaan 'caretaker'.

Demikian jelas Pengerusinya, Adly Zahari dalam satu kenyataan media pada malam Selasa.

Ujarnya, PH Negeri Melaka akan merujuk perkara itu kepada mahkamah bagi memastikan keabsahan kerajaan 'caretaker' sepertimana yang diumumkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

"Oleh itu, Pakatan Harapan Negeri Melaka berpandangan adalah tidak wajar untuk beliau dibenarkan menjadi Ketua Menteri 'caretaker government'.

"Ini selaras dengan apa yang berlaku (“precedent case”) pada 2 Mac 2020, di mana tugas pentadbiran Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Ketua Menteri baharu dilantik.

"Pakatan Harapan Negeri Melaka akan merujuk kepada mahkamah bagi memastikan keabsahan 'caretaker government; sepertimana yang diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka," jelasnya.

Dalam pada itu, Adly yang juga ADUN Bukit Katil berkata PH berpandangan bahawa permohonan Sulaiman dalam membubarkan DUN adalah sikap tidak bertanggungjawab.

"Pakatan Harapan turut berpandangan bahawa permohonan Datuk Seri Haji Sulaiman Md Ali kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk membubarkan DUN Melaka Keempat Belas mempamerkan sikap beliau yang tidak bertanggungjawab.

"Kerana rakyat masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19, malahan Pilihan Raya Negeri Sarawak telah ditangguhkan atas alasan yang sama," jelasnya lagi.

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membubarkan DUN Melaka Keempat Belas berkuatkuasa pada Isnin.

BACA: DUN Melaka dibubar - Speaker

BACA: Bubar DUN: SPR akan adakan mesyuarat khas bincang PRN Melaka

Perkara itu dimaklumkan Ab Rauf dalam sidang media pada petang Selasa.

Jelasnya, keputusan itu dibuat Tun Mohd Ali selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah mengutuskan surat kepadanya berhubung empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri.