MELAKA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menyahut cabaran Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menerusi satu kenyataan ringkas kepada media, Idris menjelaskan peluang seharusnya diberikan kepada anak tempatan bagi menjadi wakil rakyat di DUN itu.

"Saya tidak angkuh tapi yang pastinya saya akan mencari siapa yang mencabar saya, mungkin dia (Mohamad Ali) berminat di Sungai Udang.

"Mengapa tidak kita beri peluang anak tempatan untuk menjadi wakil rakyat S Udang kali ni dan saya pula akan mencari dimana dia bertanding," jelasnya.

Sebelum ini, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dalam satu sidang media mencabar Idris untuk bertanding melawannya dalam PRN Melaka jika dilaksanakan.

Jelas Mohamad Ali, cabaran itu dibuat bagi menentukan siapa pemimpin yang akan dipilih oleh rakyat jika kedua-dua mereka bertanding di kerusi DUN yang sama.

BACA: Henti putar belit, saya cabar Idris bertanding lawan saya - Mohamad Ali

BACA: 'Jangan aibkan orang, Idris sila buktikan dakwaan kepada pihak berkuasa' - Mohamad Ali

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan pemecatan keahlian UMNO terhadapnya dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, kerana melanggar tata etika parti, tegas Idris, tindakan perlu diambil kepada pemimpin yang mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang.

"UMNO boleh mengambil tindakan kepada ahli yang melanggar tata etika parti, namun ia mestilah istiqamah, jangan ada hukuman terpilih. Pengerusi Perhubungan dan Timbalannya mengadakan perbincangan dengan DAP, kononnya nak menyelamatkan kerajaan yang hampir tumbang dengan pelbagai tawaran.

"Sedangkan pada masa yang sama, tiada siapa dan tiada sebarang panggilan untuk saya dan YB Azman, sehingga YB Azman terlantar sakit pun tidak diberi perhatian.

"Bagaimana dengan dasar parti UMNO yang mengatakan 'No DAP, No Anwar'? Saya yakin mereka akan selamat dari sebarang tindakan, hak untuk didengar dan natural justice tidak dihayati nampaknya," jelas Idris lagi.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri Melaka Ke-10 itu turut memaklumkan beliau telah dihubungi ramai pemimpin termasuk Pakatan Harapan (PH). 

Malah katanya, jika PH memilih beliau menduduki kerusi Ketua Menteri, ia mungkin disebabkan menepati kualiti yang diharapkan gabungan parti itu.

"Saya masih bebas setelah dipecat UMNO, PH adalah satu opsyen, dan ramai pemimpin parti menghubungi saya bertanya khabar dan berita. Sama-samalah kita tunggu, biarlah kemelut ini selesai dahulu.

"Menduduki kerusi Ketua Menteri ini bukannya seperti tukar pakaian, oleh kerana gabungan baharu ini mempunyai latar belakang yang berkepelbagaian dan kebolehan iktisas.

"Ia tidak mudah, namun jika mereka (PH) memilih saya, ia mungkin kerana menepati standard kualiti yang diharapkan oleh mereka, bukan dengan hanya ditunjuk-tunjuk dan menjadi budak suruhan," kata Idris lagi.