KUALA LUMPUR: UMNO tidak menolak kemungkinan mengesyorkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguh pelaksanaan Pilihan Raya Kecil Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata, beliau yakin perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

"Itu tentu tanggungjawab perdana menteri, terpulanglah kepada beliau. Esok (Jumaat) ada mesyuarat Kabinet, mungkin perkara itu akan dikemukakan.

“Tunggulah keputusan dari semasa ke semasa, saya jangka, perkara yang agak besar ini tentu akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet,” katanya ketika sidang media di Parlimen, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada UMNO akan mencadangkan Perdana Menteri berhubung pengisytiharan darurat di Melaka berikutan terdapat kebimbangan penularan jangkitan COVID-19, seperti yang berlaku pada PRN Sabah sebelum ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pendirian UMNO sama ada akan meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sekiranya PRN Melaka diadakan, beliau berkata perkara itu akan diputuskan minggu depan.

“Pada 14 Oktober kita akan adakan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), notis telah diberikan kepada ahli-ahli MKT.

“Saya rasa tentunya akan dibincangkan perkara itu (kerjasama parti). Ini mesyuarat bulanan yang dipercepatkan, untuk kita muktamadkan apa-apa perkara,”katanya.

Pada Isnin, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan susulan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang hilang majoriti sokongan akibat tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.

Mengikut Perlembagaan, PRN perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.