KUALA LUMPUR:Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, mengesahkan telah mengadakan perbincangan dengan pimpinan UMNO negeri itu pada Sabtu.

Menurutnya, pertemuan itu turut menyentuh mengenai jajaran baharu politik di antara kedua-dua parti, malah PKR Perak katanya terbuka untuk mengadakan sebarang kerjasama demi kebaikan rakyat di negeri itu.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan pimpinan negeri (PKR), pimpinan komponen parti Pakatan Harapan (PH) dan juga saya telah berbincang dengan pimpinan UMNO. Ya ada, kali terakhir semalam. Ya ada dibincangkan, terserah kepada pihak UMNO membuat keputusan dan pimpinan atasan parti kami masing-masing.

"(Perkara ini sudah dibawa ke pimpinan tertinggi PKR?) Ya sudah dibawa ke pimpinan teratas, kami masih dalam siri perbincangan. Insyallah kami berpendapat perkara ini dapat diselesaikan segera. Kalau kita lihat Dewan akan mula bersidang pada Rabu," katanya lagi.

LAPOR LANGSUNG: UMNO, BN tidak tolak kemungkinan penjajaran baharu politik

Dalam pada itu, Farhash menegaskan bahawa sekiranya jajaran baharu politik itu berlaku bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil, UMNO perlu menerima Pakatan Harapan (PH) secara blok dan bukan parti-parti tertentu sahaja.

"Tiada syarat yang berat, hanya kami sebagai satu komponen terikat bersama PH mereka tidak boleh pilih PKR atau parti lain. Blok komponen PH bersama kerajaan negeri supaya we can contribute in meaningful way (dapat menyumbang dengan lebih bermakna)," katanya lagi ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Mengulas mengenai penerimaan akar umbi terutamanya melibatkan kerjasama di antara UMNO yang juga parti seteru PKR sejak dahulu lagi. Jelas Farhash, akar umbi perlu memahami situasi politik di negeri itu.

"Saya rasa suasana politik kali ini bukan seperti dahulu, its very fluid, saya rasa akar umbi boleh faham situasi sekarang yang mana ketidakstabilan perlu kita fix it.

"Supaya kita dapat fokus kepada isu rakyat, sejarah Perak ini dari tahun 1999 sampai sekarang tidak pernah ada satu parti yang dominan, selalunya dekat-dekat (majoriti tipis) so I think this will be very formidable block, gabungan itu lebih dari dua pertiga," tegas Farhash lagi.