KUALA LUMPUR:Kemelut politik di Perak yang menyaksikan Menteri Besarnya meletak jawatan kerana tidak mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) memberi ruang kepada parti politik 'minoriti' menawarkan kerjasama.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Kartini Aboo Talib, situasi itu adalah 'kebiasaan baharu' apabila sesebuah kerajaan tiada majoriti penuh.

"Pada saya kalau dilihat secara realiti, politik secara keseluruhan masih stabil walaupun berlaku perubahan dan pertukaran Menteri Besar (MB).

"Kalau kita perhatikan perubahan dan pertukaran MB berlaku secara aman. Saya mengandaikan ini satu fenomena kebiasaan baharu bagi sebuah kerajaan yang tiada majoriti penuh.

"Kita melihat trend ini... di mana kemunculan parti-parti minoriti (membentuk) gabungan bersifat strategik. Kumpulan ini memerlukan perubahan dan paradigma pemikiran politik yang sedia menerima perubahan, tidak menganggap perubahan dan pertukaran itu sebagai satu yang tidak stabil," katanya di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, trend itu dijangka akan berlarutan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Kita kena terima hakikat, sekarang ini bukan lagi kita berhadapan kerajaan yang ada majoriti jelas. Tetapi yang ada, beberapa kemunculan parti minoriti.

"Keperluan pemilihan kepimpinan ini, perlu berdasarkan track record cemerlang selain karisma, sokong dan dipersetujui oleh DUN dan juga di peringkat persekutuan nanti.

"Maka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, kita akan lihat trend ini masih lagi berlarutan, anjakan daripada kemunculan parti-parti minoriti dan ketiadaan majoriti penuh," katanya lagi.