KUALA LUMPUR:Krisis kepimpinan Kerajaan Negeri Perak dijangka diselesaikan hari ini juga, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, keputusan positif akan dicapai dalam pertemuan tiga pihak antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen hari ini.

“Ketika ini Presiden UMNO, Pas dan Bersatu sedang berbincang... 99.9 peratus akan diselesaikan hari ini,” katanya kepada pemberita di Laman Media Parlimen pada Rabu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut berkongsi gambar yang menunjukkan pertemuan antara tiga pemimpin utama itu.

“Saya hadir (dalam) perbincangan (antara) Dr Zahid Hamidi (Presiden UMNO) dan Tan Sri Annuar Musa (Setiausaha BN). Sempat berbual dengan Presiden Pas,  Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan

“Saya yakin tiga Presiden termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya selesaikan isu Perak,” katanya dalam satu ciapan di laman Twitternya.

Semalam, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Annuar Zaini berkata, tiada parti politik yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Negeri Perak yang baharu buat masa ini.

Situasi itu, jelasnya, sekali gus gagal meyakinkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk melantik Menteri Besar Ke-14 negeri ini.

“Oleh kerana DYMM (Duli Yang Maha Mulia) masih belum diyakinkan mana-mana pihak sudah ada majoriti mudah dan sehingga DYMM yakin sudah ada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mudah, barulah istiadat angkat sumpah boleh dilaksanakan.

“Oleh kerana itu, DYMM belum dapat diyakinkan oleh mana-mana pihak," katanya kepada pemberita.

BACA: Tiada parti politik miliki majoriti mudah di Perak