IPOH:Tiada parti politik yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Negeri Perak yang baharu buat masa ini.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Annuar Zaini berkata, situasi itu sekali gus gagal meyakinkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk melantik Menteri Besar Ke-14 negeri ini.

“Oleh kerana DYMM (Duli Yang Maha Mulia) masih belum diyakinkan mana-mana pihak sudah ada majoriti mudah dan sehingga DYMM yakin sudah ada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mudah, barulah istiadat angkat sumpah boleh dilaksanakan.

“Oleh kerana itu, DYMM belum dapat diyakinkan oleh mana-mana pihak.

“Kita akan tunggu sehingga mereka sudah bersedia untuk meyakinkan DYMM dan DYMM berpuas hati sudah ada majoriti mudah untuk tubuhkan kerajaan,” katanya kepada media di perkarangan Istana Kinta di sini hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] Pas batal menghadap Sultan Perak

Beliau berkata demikian selepas tiga pemimpin Pakatan Harapan Perak iaitu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi menghadap Sultan Nazrin.

Ia disusuli pemimpin dari UMNO Perak iaitu Pengerusi Perhubungan negeri ini, Datuk Saarani Mohamad dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Jelas beliau, sehingga hari ini (Selasa), tiada mana-mana individu mahupun ahli politik yang memohon untuk menghadap Sultan Nazrin.

“Untuk hari ini, tiada lagi sesi menghadap. Esok pun sama, setakat ini tiada lagi mana-mana pihak yang mohon menghadap Sultan pada esok hari,” katanya.

Beliau pada masa sama turut mengesahkan bahawa ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim ada menghadap Sultan Nazrin pagi tadi, namun tidak diketahui atas kapasiti apa pertemuan itu dilakukan.