KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya masih menunggu pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung status Bersatu Sabah dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Hamzah berkata ini susulan tindakan bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor keluar daripada Bersatu pada Disember tahun lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan khas bersama kepimpinan Bersatu Sabah hari ini yang turut dihadiri Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee merangkap Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah di sini.

Pada Disember tahun lepas, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengumumkan keluar Bersatu Sabah selepas mengambil pertimbangan landskap politik negara ketika ini.

Hamzah juga berkata Bersatu Sabah masih lagi relevan di negeri itu berdasarkan keahlian parti, selain kini sedang menstruktur semula kepimpinan di peringkat negeri dan bahagian.

Ditanya adakah Bersatu masih menyokong Hajiji walaupun pemimpin berkenaan sudah tidak bersama parti itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata perkara itu adalah hal dalaman antara Hajiji dan Bersatu.

"Itu masalah kami. Masalah dalaman," katanya.

Hamzah juga berkata PN mahupun Bersatu tidak mahu merosakkan kepimpinan Sabah sedia ada meskipun ada beberapa bekas ADUN yang ditemui menyatakan hati mereka masih lagi ingin bersama parti itu.

-- BERNAMA